MAJLIS KERAPATAN GENERASI SITI AJUM & GENERASI YANG CHEK SEMPENA AIDILADHA (28 & 29 NOV 2009)
“MAJLIS KERAPATAN” Persatuan Keluarga Generasi Yang Chek
dan Generasi Keluarga Arshad sempena Hari Raya Aidil Adha
Peradong, Jelebu – Tiada yang lebih bermakna bagi seluruh keluarga keturunan Yang Chek dan keluarga keturunan Arshad apabila mereka berjaya dikumpulkan dalam satu program “Majlis Kerapatan” sempena sambutan Hari Raya AidilAdha kali ini.
Majlis Kerapatan itu berjaya melakar kenangan manis kepada seluruh ahli keluarga terbabit yang berjaya mengumpulkan 150 orang melibatkan tiga generasi keluarga Yang Chek dan keluarga Arshad.
Menurut Pengerusi Keluarga Generasi Yang Chek (GYC), Muzily Musa, perjumpaan ini tercetus atas dasar mengeratkan kembali hubungan silaturrahim di antara 2 keluarga iaitu keluarga
Siti Ajum/ Arshad (GSA) di Peradong, Jelebu dan keluarga Yang Chek/Mohd Arif (GYC) di Senaling, Kuala Pilah. Beliau menyatakan bahawa hasrat untuk mengumpulkan seluruh ahli dari dua keluarga ini sudah lama untuk memastikan hubungan kekeluargaan itu tetap utuh sekalipun mereka tinggal di merata tempat yang kebanyakannya di ibu kota.
“Setelah mengadakan perbincangan, pihak GYC telah mengambil keputusan untuk bertandang di Batu 6, Kg. Pergoi, Peradong, Jelebu untuk bersama-sama GSA menyambut Hari Raya Korban.”
Menurut beliau lagi, pihak jawatankuasa program Majlis Kerapatan yang dipengerusikan oleh Tn Haji Zainal Awaludin (GSA) dan Zamrus Shariff (GYC) telah mengadakan beberapa aktiviti bagi memeriahkan Majlis Kerapatan ini.
Majlis Kerapatan yang berlangsung selama dua hari ini juga telah mengorbankan 2 ekor lembu bersempena dengan sambutan Aidil Adha.
Antara aktiviti yang diadakan sepanjang Majlis Kerapatan ini ialah majlis suai kenal keluarga, penerangan susur galur keturunan kedua-dua keluarga, bacaan doa selamat dan tahlil arwah, takbir hari raya, serta pertandingan mewarna, bercerita dan kuiz keluarga untuk kanak-kanak.
Menurut Penolong Setiausaha GYC, Norazizi A. Aziz, GYC dengan kerjasama GSA, turut menjayakan satu tayangan slide “Gempa Bumi Padang, Indonesia.” Tayangan slide ini bertujuan untuk menimbulkan rasa insaf serta kesedaran disamping sama-sama menyelami penderitaan atas ujian gempa bumi yang berlaku di Padang, Indonesia.
Menurut beliau, sebagai insan yang prihatin, kita harus ada rasa tanggungjawab untuk memainkan peranan kita sesama manusia apatah lagi kita dari rumpun yang sama.
“ Bagi menyuntik kesedaran serta memberi keinsafan kepada ahli keluarga, pihak kami telah mengadakan tayangan slide ini untuk sama-sama dihayati”
Norazizi berkata, kemuncak Majlis Kerapatan ini adalah pelancaran “Tabung Gempa Bumi Padang” untuk mangsa gempa bumi Padang, Indonesia dan kutipan yang berjaya dikumpulkan adalah sebanyak RM 441.41.
Persatuan Generasi Yang Chek Dan Generasi Keluarga Arshad turut menyalurkan kutipan itu kepada Pengerusi Yayasan Amal Negeri Sembilan, En Sufian Ibrahim melalui wakil keluarga GYC dan GSA.
Penasihat program Majlis Kerapatan, Ybhg Senator (B) Tuan Zakaria Arshad pula berharap agar program-program seperti ini tidak akan terhenti setakat ini sahaja.
“ Besarlah harapan saya agar program-program yang bertujuan merapatkan lagi tali persaudaraan ini tidak terhenti dan perlu diteruskan dari masa ke semasa, pihak GSA amat berterima kasih kepada pihak GYC atas inisiatif ini dan pihak GSA akan merancang untuk bertandang ke Senaling, Kuala Pilah pula untuk membalas kehadiran GYC ini bagi menjayakan program-program keluarga seperti ini.”
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.